Half an Hour as a Crime Scene Investigator!!

Posted by along Nazirah | Wednesday, October 21, 2009 | , | 2 comments »



Satu pembunuhan telah dilaporkan berlaku di Taman Sungai Bakap, Ipoh. Seorang pemain bola jaring negeri ditemui mati di rumahnya. Anak perempuan mangsa bergegas membuat laporan setelah mendapati mangsa tertiarap di ruang tamu rumah mereka. Polis percaya mangsa telah diserang dengan benda tumpul dan lehernya dijerut sehingga mati. MOtif pembunuhan masih belum dikenal pasti. Menurut saksi kejadian, sehari sebelum kejadian berlaku, mangsa telah bergaduh dengan teman lelakinya. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak polis telah menahan empat suspek, dua lelaki dan dua perempuan untuk siasatan lanjut.

Berbekalkan sebuah buku panduan, saya melangkah ke dalam bilik siasatan jenayah. Segala bukti yang telah diperolehi disusun dengan baik bagi membolehkan siasatan berjalan lancar. Terdapat lima bukti di lima stesen. Saya meneliti satu per satu.


STESEN 1 : Tread Lightly

Detektif Azah Sarip memaklumkan bahawa penjenayah memakai kasut sukan. Empat sampel tapak kasut telah diambil dari tempat kejadian. Saya telah mengenalpasti mana satukah antara empat tapak kasut tersebut yang merupakan tapak kasut sukan. Saya dapati sampel kasut dari suspek B dan C adalah kasut sukan. Setelah mencatatkan hasil pemerhatian di dalam buku catatan, saya meneruskan siasatan.


STESEN 2 : Button Fever

Detektif Ery telah menjumpai sebutir butang berwarna putih di dalam genggaman tangan mangsa. Justeru, beliau telah mengambil tindakan segera dengan mengambil sampel butang suspek-suspek yang telah dikenal pasti. Saya kemudiannya menyenaraikan hasil pemerhatian saya dalam jadual yang telah ada di dalam buku catatan saya.


STESEN 3 : Positive Prints

Banyak cap jari telah ditemui di tempat kejadian. Detektif Wawa telah mengambil kesan cap jari yang terdapat di tempat kejadian, juga sampel cap jari suspek yang telah dikenal pasti. Mangsa dikatakan telah diserang dengan benda tumpul. Antara senjata yang disyaki sebagai senjata adalah botol, pasu, pemukul bola lisut dan tukul getah. Keadaan semakin meruncing kerana saya mengesyaki senjata yang digunakan barangkali adalah pasu. Sesekali fikiran saya menyangkal, mungkin juga botol, atau pemukul bola lisut, boleh jadi juga tukul getah. Kemahiran menjangka saya teruji di sini. Saya tidak mahu patah semangat, saya teruskan kepada bahan bukti yang seterusnya.


STESEN 4 : Poisoned Pens

Turut dijumpai di samping mangsa adalah sekeping kertas bertulis "BEWARE!! I'LL KILL YOU!!!". Kromatografi dakwat pen telah diselidiki oleh Detektif Ehsan. Beliau turut membandingkan hasil kromatografi dengan pen-pen milik suspek. Keputusan yang saya terima sangat membantu. Terdapat sebatang pen yang mempunyai kromatografi yang sama dengan pen yang digunakan untuk menulis ugutan terhadap mangsa.


STESEN 5 : Strangled Rope

Hasil penyiasatan telah memberikan maklumat yang sepadan antara satu sama lain. Di stesen terakhir, Detektif Mina dan Detektif Mizah menunjukkan kesan jerutan pada leher mangsa untuk dibandingkan dengan tali-tali yang telah diambil dari tempat kejadian. Saya membuat perbandingan, mengenal pasti persamaan jalur-jalur yang terdapat pada setiap tali yang ada dan akhirnya membuat keputusan tentang senjata pembunuhan suspek.


Setelah selesai meneliti kesemua bahan bukti, saya merekodkan semua hasil penyiasatan di dalam satu jadual agar saya dapat melihat kaitan antara bukti pembunuhan dengan suspek yang telah dikenal pasti.

Langkah terakhir di sini adalah menganalisis, membuat inferens dan membuat keputusan. Suspek telah berjaya dikenal pasti. Tidak disangka, pada zaman serba canggih ini, sang anak tergamak membunuh ibu sendiri. Lihatlah dunia, di dalam rumah sendiri pun tidak selamat, bersama darah daging sendiri pun tidak selamat.. Inilah hasil kemajuan dunia yang semakin pesat, sayangnya nilai akhlak diletak tepi, masyarakat kembali kepada jahiliyah,...


KONKLUSI : An Investigator for half an hour

Selama ini sekadar menjadi penonton rancangan CSI yang disiarkan di televisyen, hari ini saya berpeluang menjadi seorang ahli CSI, saya teruja walaupun hanya untuk lebih kurang 30 minit... =)

Hari ini merupakan Hari Pameran Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran yang dianjurkan oleh Jabatan Research and Development. Jabatan Sains dengan kerjasama unit F5 telah menyediakan pameran CSI untuk menarik minat murid untuk mempelajari seterusnya menguasai kemahiran-kemahiran Sains melalui projek penyiasatan ini. Secara tidak langsung, murid akan melaksanakan kemahiran memerhati, mengenal pasti, membanding beza, membuat inferens, menjangka, dan membuat keputusan sepanjang menjalankan siasatan.

Menurut Pengarah Siasatan, Tn Mohammad Rafiq Razali, penyiasatan ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. Strategi pengajaran yang digunakan adalah secara konstruktivisme di mana murid membina sendiri hasil pembelajaran melalui pengalaman yang dirasai sepanjang menjalankan siasatan.

Tn Mohammad Rafiq turut mempromosikan alatan Criminal Lab Investigation kepada saya. Alatan ini merupakan mainan yang menyerupai alatan siasatan jenayah yang sebenar. Terdapat serbuk yang boleh digunakan bagi mengesan cap jari, tiub ujikaji, mikroskop, sampel dakwat, sarung tangan dan beberapa alatan lagi. Alatan ini selamat digunakan oleh para pelajar sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Pada pendapat saya, sesi pengajaran dan pembelajaran bertemakan CSI ini sangat sesuai untuk diaplikasikan kepada murid-murid awal Tahap II iaitu Tahun 4 dan Tahun 5. Ia memerlukan pelajar untuk bekerja secara berkumpulan bagi menyelesaikan siasatan ini. Murid-murid akan teruja menjadi penyiasat jenayah dan akan berlumba-lumba untuk menyelesaikan siasatan ini dengan sebaiknya.

Selain sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran Sains, kaedah ini boleh juga diintegrasikan bersama mata pelajaran Bahasa Melayu. Di akhir penyiasatan, murid-murid boleh menulis laporan siasatan yang telah dijalankan. Laporan tersebut kemudiannya disemak oleh guru Bahasa Melayu.


TAHNIAH saya ucapkan kepada para pelatih unit F5 kerana telah menghasilkan satu pameran yang menarik dan mengujakan. Pameran ini dapat memberikan cambahan idea kepada bakal guru untuk diaplikasikan di sekolah nanti. Bagi diri saya sendiri, mungkin CSI ini tidak sesuai untuk sesi pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Walaubagaimanapun, ia menyemarakkan semangat saya untuk merancang aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang bercorak baru, futuristik, mencabar, lain dari yang lain, dalam masa yang sama masih meletakkan agama sebagai asas pengajaran. Mungkin PJ juga boleh diintegrasikan dengan pengajaran Pendidikan Islam, segalanya tidak mustahil.

Saya mencabar diri sendiri untuk brainstorming idea-idea PJ yang lebih menarik daripada aktiviti 'Hockey-Pokey Dance', misi Wonderpets mahupun pengembaraan Ben10 yang pernah saya jalankan semasa praktikum yang lalu. Gambatte!! kepada semua bakal guru.

*Saya ingin melatih seorang atlet yang boleh dijadikan ikon Muslim dalam dunia sukan. Ini harapan saya, ini azam saya. InsyaAllah... Moga-moga Allah memberkati.


KENANGAN SEBAGAI SEORANG AHLI FORENSIK (^_^)


Stesen 1 : Tread Lightly.
Kenal pasti corak tapak kasut sukan. Ni kalau cikgu PJ tak tau buat malu je jadi cikgu PJ..


Detektif Ery sedang memberi penerangan. Yang pendengar tu betul-betul dengar ke, angguk-angguk, geleng-geleng je? hehe..


Stesen 2 : Button Fever.
Kenal pasti mana satu butang yang sama dengan butang dalam genggaman mangsa


Detektif Wawa dan Detektif Salleh menunjukkan sampel cap jari yang telah dikumpulkan


Stesen 4 : Poisoned Pens
Mengenal pasti kromatografi yang sepadan dengan kromatografi dakwat yang digunakan untuk menulis ugutan


Cara menghasilkan kromatografi. Titikkan dakwat lebih kurang 1cm dari kertas turas(betul ke nama kertas ni kertas turas?), kemudian rendam dalam air paip.


Kromatografi pen ini tidak sepadan dengan kromatografi pen yang digunakan untuk menulis ugutan,.. =p



Stesen 5 : Strangled Rope
Padankan kesan jerutan pada leher mangsa dengan jenis tali yang ditemui.



Detektif Mina dan Detektif Mizah berposing selepas bagi penerangan



Tuan Pengarah Siasatan mempromosikan alatan Criminal Lab Investigation. Berminat? Sila hubungi Tn Pengarah. =)


Last but not least...

Demonstrasi bagaimana leher mangsa dicekik menggunakan tali. Mangsa cuba untuk menyelamatkan diri.. (^_*)

HUJAN DARI HATI...

Posted by along Nazirah | Thursday, October 15, 2009 | , | 1 comments »


Titis-titis hujan rintik
Kuharapkan ia bukan hasil daripada kesedihan
Jua bukan dari dendam kebencian
Kuharapkan ia adalah azimat kecintaan
Jua sebagai bukti kerinduan
Yang lahir tulus dari hati
Kerana Allah Yang Maha Esa

Titis-titis hujan turun bertimpa-timpa...
Moga bisa menjadi baja
Menyirami kuntuman ukhuwwah yang kian layu
Agar kembali mekar menguntum,
Mewangi ke segenap penjuru alam


Ya Allah,
moga titis-titis hujan
yang lahir dari nubari
adalah ikhlas keranaMu
agar ia tidak dapat disapa,
digoda sang iblis laknatullah...

Ya Allah,
Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini
telah berkumpul kerana mengasihiMu,
bertemu untuk mematuhi perintahMu,
bersatu memikul beban dakwahMu,
hati-hati ini telah mengikat janji setia,
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,
maka eratkanlah Ya Allah, akan ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap.
Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman,
keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu.
Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat tentangMu.
Jika Engkau mentaqdirkan mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini
sebagai para syuhada' dalam perjuangan agamaMu.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah perkenankanlah permintaan ini....

*Ya Allah, kurniakan kesabaran dan ketabahan dalam mengharungi segala ujian dan mihnah daripadaMu Ya Allah,..

Teringat dialog dalam drama Cinta Sempurna,

"Kenapa mengeluh? Tak baik mengeluh, keluh kesah dengan ujian Allah. Tak ikhlas dengan Allah tu namanya,.."

Pesanan buat diri,. sabar, sabar, dan terus bersabar. Pasakkan keyakinanmu pada Yang Satu, kerana Dia Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, jua Maha Memberi...

300909 (17:16)

Posted by along Nazirah | Friday, October 09, 2009 | | 0 comments »

Peringatan buat diri yang sering alpa. Kiamat sudah dekat, apakah masih mahu terleka? Fikir-fikirkan.... Buat saudara-saudara di Sumatera Barat, semoga sentiasa tabah menghadapi ujian daripada Allah.





(16:17)

و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

(QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”

S.E.P.I???

Posted by along Nazirah | Wednesday, September 30, 2009 | , | 0 comments »



Pernahkah anda berasa SEPI? Seolah-olah diri ini sendiri dalam ramai, kaku dalam kesesakan, sunyi dalam riuk-pikuk kebisingan manusia?? Perit, pedih, muram, kusam dan 1001 rasa negatif lagi yang akan bersarang di dalam dada. Diri rasa terpinggir dan tersisih, melayan hati sendiri, terasa keluh-kesah, tidak tahu di mana salah dan silap, alih-alih hati terasa tidak tenang.

Bila bait-bait sepi ini menguliti hati, mulalah nafsu di hati berbicara, carilah teman buat penyeri. Boleh juga berkongsi rasa yang ada di dalam dada. Kesepian yang menyesakkan jiwa, isilah dengan bunga-bunga cinta yang bisa menyegarkan kembali sekeping hati. Biar terisi dengan kasih dan sayang, merah mekar, harum mewangi. Lantas sang iblis yang selama ini menunggu ruang dan peluang, jadi mudah untuk menakluki jemala hati. Ayat-ayat cinta mula berbicara. Tambahan pula bila kesenangan menawarkan diri, ingin mengisi kesepian diri, ingin berkongsi citra kehidupan.

Bila kesepian menghuni hati, mulalah diri mencari alternatif. Apa yang bisa mengubati kesepian hati, mencari hiburan di kala sunyi, mencari keseronokan bagi menggantikan kesedihan yang mula mengulit diri.

Awaslah! Kesepian yang melanda, bisa sahaja membuka pintu hati untuk diisi. Bezanya, sama ada SEPI itu diisi dengan kebaikan, atau dibuka ruang terhadap kemungkaran. Adakah kita memberi peluang, agar hati yang SEPI itu dihiasi cahaya putih, atau membiarkan ia dalam gelap zulmat dipenuhi tompok-tompok hitam, yang bertambah hari demi hari. Tepuklah dada, soal iman yang melingkari.


"Bilal tak rasa sunyi ke? Duduk sorang-sorang kat sini?" soal Najib kepada seorang bilal buta yang tinggal seorang diri di sebuah masjid.

"Sunyi tu hati, bergantung pada hati. Kalau hati tu rasa berTuhan, sendirian pun rasa ramai."

*Dialog dari drama Cinta Sempurna siaran Astro Oasis sepanjang Ramadhan lalu.
Penuhilah keSEPIan hati dengan ingatan kepadaNya. Ingatan itu akan membuahkan ketenangan dan ketenteraman. InsyaAllah...

ubat_hati.gif image by mfy_87


REUNION of G4 SMKAB & IJTIMA' HARI RAYA PPISMP MPI 2004-2005

Posted by along Nazirah | Wednesday, September 16, 2009 | , | 3 comments »

REUNION OF G4 SMKAB

  • Perhatian kepada semua warga G4, X-SMKAB. Satu reunion akan diadakan pada hari raya ke-4 (23/9) - setelah 6 tahun, di rumah Alias, Kulim.
  • Masa : 10 am onward
  • Kutipan RM 20 dikenakan (lebih akan dikembalikan @ dimasukkan ke tabung G4).
  • Sila bank in ke akaun MAYBANK 157167051691 (atas nama Mohd Shahrezza Ishak).
  • Sila hantar RSVP / Confirmation ASAP bagi mengelakkan sebarang kesulitan (selewat-lewatnya 19/9).
  • Sebarang pertanyaan terus kepada Alias, 0174244330.
Harap dapat meramaikan dan memeriahkan majlis.

**Akhirnya, setelah enam tahun tidak bersua muka secara beramai-ramai begini, atas usaha Yeh, dapat jugak kita buat reunion kali ni, Insya-Allah. Moga segalanya dipermudahkan.


IJTIMA' HARI RAYA PPISMP MPI 2004-2005

Kepada semua x-student PPISMP MPI (2004-2005), satu perjumpaan Ijtima' Hari Raya akan diadakan bagi mengumpulkan sahabat-sahabat kelahiran MPI dari semua IPGM iaitu dari IPIS sendiri, IPDA, IPBA, IPIP, IPPM serta Institut di Sabah dan Sarawak.. Butir-butir ijtima' tersebut adalah seperti berikut :

Tarikh : 2 - 3 Oktober 2009
Hari : Jumaat - Sabtu
Tempat : Bilik Taranum IPIS

Bagi menjayakan program reunion ini, anda yang berkenaan dikehendaki untuk :

1) Menconfirmkan kehadiran selewat-lewatnya pada 28 September 2009 kepada Ahmad Munsif bin Ismail (013-3643345) atau Norsyahidah bt Muzakir (013-2043345).

2) Menghantar nama penuh, No kad pengenalan, Alamat Rumah dan institut yang terkini, email, alamat blog (jika ada) serta gambar terkini ke email pismkpis@gmail.com selewat-lewatnya pada 28 September 2009 bagi memudahkan pengurusan program reunion pada masa akan datang.

Sekiranya anda tidak berbuat demikian, maklumat diri anda tidak akan dikemaskinikan..

Kemudahan tempat penginapan disediakan...

** Sedetik bersama, seabad terasa... Walaupun hanya setahun setengah di Maktab Perguruan Islam, segala kenangan dan pengalaman pahit dan manis pasti akan selalu terpasak di sanubari. Jauh dari mata, dekat dalam hati. Sekurang-kurangnya kami tidak berasa tersisih dari bumi Bangi ini...



Akhir kata, lagu Sebiru Hari ini dendangan Edcoustic, saya tujukan kepada semua rakan dan taulan serta kenalan yang mengenali diri saya. Semoga ukhuwwah yang selama ini terbina akan terus kukuh walau kita bakal berpisah.

Makan dalam Talam, Bersuap-suap,.. Best!!!

Posted by along Nazirah | Friday, September 04, 2009 | , , | 2 comments »



Adik A : Best wei, aku tak pernah makan orang suap.

Adik B : Ha'ah, best. Anak sedara aku pun aku tak pernah suap. Hari ni aku suap ko.

Adik C : Best macam ni nak pi buka posa hari-hari la kat surau.

Saya menelinga perbualan antara adik-adik junior. Mereka adalah junior-junior yang baru sahaja mendaftar di Institut Pentarbiahan Guru Kampus Ipoh pada bulan Julai yang lalu.

Alhamdulillah, untuk sambutan Ihya' Ramadhan pada tahun ini, Pusat Islam Al-Hidayah sekali lagi membuat pembaharuan dengan menghidupkan salah satu sunnah makan cara Rasulullah iaitu dengan cara makan secara berjemaah guna talam sebagai ganti pinggan. Perbualan di atas antara respon yang saya dengar, Alhamdulillah.

Makan dalam talam ini, bukan sekadar untuk 'save' tenaga tak perlu basuh pinggan banyak-banyak, atau seronok-seronok main rebut-rebut lauk, tetapi ada banyak kelebihan-kelebihannya. Antaranya:

1) SUNNAH RASULULLAH

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”


2) MENGERATKAN UKHUWWAH

Makan secara berjemaah, akan mengurangkan sikap individualistik. Kita rela berkongsi nasi, lauk-pauk. Tengok kawan agak-agak dah nak habis lauk, kita cubit lauk kita, bagi sikit pada rakan.

Selain itu, sambil-sambil makan, boleh berkenalan dengan adik-adik junior. Junior janganlah segan berkongsi makan dengan kakak senior. Kakak senior pula rajin-rajinlah menyapa adik-adik yang masih malu-malu ini.


3) TAK MEMBAZIR

Sesetengah orang tak boleh makan banyak, setengah orang kena makan banyak untuk dapatkan tenaga. Yang makan banyak boleh ambil nasi yang tak makan banyak, maka tak terjadilah pembaziran.


Sepanjang lebih kurang tiga hari memulakan budaya makan dalam talam ini, saya dapati ada juga sedikit kekurangan dari segi teknikalnya iaitu ada banyak lebihan yang ditinggalkan, tidak habis dimakan oleh lima orang yang berkongsi dalam satu talam. Masalah ini hanya masalah mudah dan boleh diatasi. Antara cadangan saya:

1. Lebihkan bilangan orang untuk satu talam. Agak-agak tak muat, duduk makan cara Rasulullah iaitu dengan cara duduk tahiyat awal tapi lutut kanan dinaikkan. Posisi duduknya ialah peha/lutut kanan dinaikkan manakala kita duduk pada bahagian kaki kiri. Macam dalam gambar ni.
2. Kurangkan nasi dalam talam, sediakan nasi untuk tambah. Dengan cara ini, nasi akan habis, dan nasi yang lebih boleh dibungkus untuk bawa balik, buat sahur.

Setelah lama mengimpikan, akhirnya dapat juga dilaksanakan di bumi Ulu Kinta ini. Dulu, semasa di Maktab Perguruan Islam, sudah jadi budaya untuk makan dalam talam secara berjemaah.

(gambar kenangan semasa Lawatan Penanda Aras I ke IPG Zon Tengah tahun 2007.
Lokasi: Masjid As-Syafi'e, IPG Kampus Islam, Bangi)


Justeru, Along ingin mengucapkan syabas kepada Lujnah Makanan kerana telah berjaya memperkenalkan budaya makan dalam talam ini. Walaupun masih ada yang tidak biasa makan dalam talam, makan bersuap-suap, semoga usaha yang berterusan akan menjadikan kita biasa dengan perkongsian ini dan berterusan juga menghidupkan sunnah Rasulullah ini... (^_~)

~MARI BERPESTA!!!~ (^___^)

Posted by along Nazirah | Friday, August 21, 2009 | , | 0 comments »


Assalamu'alaikumwarahmatullah,..

Alhamdulillah, kita masih lagi dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun ini. Kita masih berpeluang untuk menghirup udara Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan kasih sayangNya.. Kita masih diberi ruang untuk menggandakan ibadah dan pahala.. InsyaAllah...

Hari ini hari terakhir kuliah sebelum pulang untuk cuti semester. Perjumpaan untuk pasca-praktikum juga sudah berlalu dengan jayanya... (^_^) Yang nak menempuh perjalanan jauh, Kak Ama, Fizan, Afiq, Ajim, Ayu dah pun siap-siapkan kereta. Dah siap periksa minyak hitam, air, minyak brek. Semoga kalian selamat sampai ke destinasi masing-masing dan sentiasa berada di bawah jagaan Allah hendaknya...

Malam ini, bakal menjengahlah Ramadhan yang dinanti... Sejauh mana Ramadhan tahun ini memberi kesan, bergantung kepada persiapan kita menyambut bulan mulia ini. Sahabat Rasulullah saw, masuk bulan Rejab sahaja mereka sudah bersiap-sedia, melatih diri dengan ibadah, untuk pecutan akhir bila tiba bulan Ramadhan. Menyingkap tabir diri sendiri,. Allah.. jauh langit dengan bumi kalau nak dibandingkan dengan para sahabat...

Walaubagaimanapun, di kesempatan ini, Along ingin memohon ampun dan maaf kepada semua yang mengenali diri ini seandainya ada salah dan silap perbuatan, terkasar perkataan mahupun terguris di hati dengan sikap dan tingkah laku yang tidak molek dari diri ini. Tidak lupa, Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.. InsyaAllah...


p/s buat yang tidak berjumpa dalam 2 minggu ini::

Kerinduan pada kalian buat diri ini terkadang menahan takung air mata. Namun, hati berkata usah menangis, bertahanlah!! Kerana ini latihan sebelum kamu benar-benar keseorangan sedikit masa lagi.... Ana uhibbukum fillah!!!